Thursday 29 December 2011

TANDA-TANDA LELAKI TIDAK PUAS HATI DENGAN ISTERINYA


“Apabila seseorang suami mulai berasa bahawa perkahwinannya tidak lagi memuaskan dia akan kurang bercakap dan mulai menyalahkan diri secara fizikal daripada isterinya”.


Apabila seseorang suami mulai berasa bahawa perkahwinannya tidak memuaskannya, maka akan timbul tanda-tanda dia menjauhkan diri.

Antara tanda-tanda yang paling awal ialah dia banyak diam dan kurang berbual-bual dengan isteri. Percakapannya semakin kurang. Perkara-perkara tertentu tidak disebut sama sekali.

Dia juga tidak mahu memulakan percakapan dengan isteri. Apabila bercakap, mereka seperti tidak kenal lagi antara satu sama lain.

Sekiranya keadaan ini tidak dipulihkan, keretakan itu akan masuk ke dalam fasa yang lebih serius. Dia bukan sekadar banyak diam dan tidak banyak bercakap.

Dia mula menjauhkan dirinya secara fizikal daripada si isteri. Sebagai contoh, dia mula mencipta kerja yang banyak, iaitu supaya dia selalu sibuk. Dengan cara itu dia mempunyai alasan tidak dapat bersama isteri.

Dia juga mungkin pula mengambil hobi daripada jenis yang isterinya tidak dapat ikut serta, seperti memancing, memikat burung, berburu, bermain ragbi dan macam-macam lagi hobi lelaki.

Dia mungkin mula sanggup menerima tugas-tugas baru dan tanggungjawab tambahan di tempat kerjanya, atau terhadap jiran dan kenalan, atau mana-mana pertubuhan.

Dia mula sengaja tidak memberi perhatian kepada percakapan isterinya. Bila ditanya, dia lambat menjawab. Gerak-geri badannya juga menunjukkan dia tidak lagi berminat kepada isterinya..

“Isteri perlu belajar berkomunikasi dengan suaminya dengan menggunakan gaya bahasa yang akan merapatkan semula jurang emosi antara mereka”.

Malah dia sering ‘lupa’ pada banyak perkara berkenaan hubungan antara dia dan isteri, seperti dia ‘lupa’ hari valentine, hari ibu, hari jadi, hari ulang tahun perkahwinan atau hari jadi ibu mertuanya dan macam-macam lagi peristiwa penting.

Yang paling ketara ialah dia tidak lagi membuat rancangan tentang masa depan bersama. Dia tidak ada rancangan hendak membawa isterinya makan sate minggu depan atau balik kampung atau bercuti. Kalau diajak membuat rancangan oleh si isteri, jawapannya serba tidak pasti.

Dalam menghadapi suami yang sudah menunjukkan tingkah-laku menjauhkan diri, isteri perlu belajar berkomunikasi dengan suami menggunakan gaya yang merapatkan semula jurang emosi antara mereka berdua.

Sumber : Abdullah Hassan