Wednesday 14 December 2011

MATI PUCUK


Penyeksaan Batin Seorang Lelaki

Satu penyelidikan menunjukkan bahawa usia purata penghidap penyakit lemah tenaga batin atau erectile dysfunction di benua Asia lebih muda berbanding di benua lain. Sebagai contoh di negara China iaitu ketika berusia 42 tahun, manakala di Jepun dan Malaysia pula ketika berumur 44 tahun. Lebih mengejutkan, kira-kira 100 juta lelaki di seluruh dunia dianggarkan menghidapi masalah lemah tenaga batin. Malah hampir sejuta lelaki di Malaysia dikatakan berpotensi untuk menghadapi masalah tersebut.


         Lemah tenaga batin dikaitkan sebagai ketidakupayaan yang berterusan untuk mencapai atau mengekalkan ketegangan yang secukupnya bagi menghasilkan satu aktiviti seks yang memuaskan. Mati pucuk boleh terjadi dalam bermacam bentuk seperti mati pucuk sepenuhnya, tidak berupaya untuk menegang dengan konsisten atau ketegangan yang hanya bersifat sementara. Keadaan ini menyebabkan pakar sukar meramalkan sebarang insiden yang boleh dikatakan sebagai mati pucuk pada seorang lelaki.

Meskipun ia satu masalah yang kerap dihadapi namun jarang diperkatakan di kalangan lelaki terutamanya dalam masyarakat Asia. Ramai beranggapan ‘kejantanan’ lekaki terletak pada kehebatan mereka di ranjang. Justeru kerana tidak mahu diperolok-olok, penghidap lemah tenaga batin sanggup menderita dalam diam. Lelaki yang menghidap masalah lemah tenaga batin perlu mengambil langkah pencegahan. Walaupun, ia penyakit serius tetapi masih boleh diubati. Adalah perlu berjumpa pakar urologi atau sakit tuan jika terdapat tanda awal masalah tersebut agar dapat dirawat segera.

Kebanyakan pesakit di Asia gemar mendapatkan rawatan sendiri melalui perubatan tradisional seperti berurut, minum air tongkat Ali, memakan ikan linang, serbuk badak sumbu dan ubat-ubat tradisional lain. Tidak dinafikan cara-cara tradisional boleh membantu tetapi fungsinya tidak sama. Sebagai contoh urutan membantu daya ketegangan apabila bekalan darah dapat mengalir ke buah zakar  tetapi ia tidak meningkatkan ghairah seks. Sementara amalan memakan ubat-ubat tradisional boleh meningkatkan libido tetapi tidak dapat membantu ketegangan. Untuk mendapatkan kepuasan seks, libido dan ketegangan perlu jalan seiring.

Masalah lemah tenaga batin biasanya berlaku akibat gangguan vaskular yang menjejaskan bekalan darah ke zakar. Perjalanan darah boleh terganggu akibat pengerasan arteri (arteriosclerosis), diabetes, tekanan darah tinggi atau tahap kolesterol dalam darah yang luar biasa tingginya. Kencing manis merupakan satu-satunya masalah utama yang boleh dikaitkan dengan mati pucuk. Ia boleh menimbulkan kesukaran seksual lelaki pada sebarang usia melalui gangguan sistem perjalanan darah dan saraf yang merangsang ketegangan. Kesannya, kira-kira setengah daripada penghidap diabetes lelaki akan menghidapi masalah lemah tenaga batin.

Selain berpunca daripada keadaan fizikal, faktor psikologi juga boleh menyebabkan masalah ini. Ketegangan perasaan, bebanan kerja, keletihan, perkahwinan yang tidak bahagia juga boleh menyebabkan lelaki menghadapi masalah ini. Tanpa rawatan segera, ia boleh menyebabkan banyak masalah emosi yang seterusnya menjejaskan imej diri, hilang keyakinan dan ketegangan fikiran.

Masalah kesihatan lain yang boleh menyebabkan lemah tenaga batin ialah gangguan neurologi seperti sclerosis berbilang, penyakit angin ahmar dan trauma akibat kecederaan pelvik serta tulang belakang. Pembedahan untuk penyakit prostat dan terapi radiasi juga boleh menjejaskan fungsi tenaga batin sama seperti sesetengah ubat yang dipriskripkan untuk merawat penyakit seperti tekanan darah tinggi, ketegangan perasaan, penyakit jantung, ulser gastrik dan barah.

Para penyelidik mendapati empat daripada lima lelaki yang menderitai masalah tersebut mempunyai masalah yang berpunca daripada keadaan fizikal. Penyebab utama lemah tenaga batin biasanya berkaitan dengan diabetes, penyakit jantung dan masalah hati.

Menurut kajian yang dijalankan berkaitan rawatan lemah tenaga batin dia Asia, 25 peratus pesakit lemah tenaga batin juga menghidapi tekanan darah berlebihan (hypertension), 15 peratus menghidap prostatik hyperlasia ringan, 13 peratus menghidapi diabetes jenis 11, 9 peratus menghidap penyakit vaskular, sembilan peratus menghidap diabetes jenis 1, sembilan peratus menghidap keadaan psikitrik, 7 peratus menghidap trauma pelvik dan dua peratus megalami kecederaan tulang belakang.

Merokok boleh menyempitkan aliran darah ke zakar dan memburukkan keadaan vaskular seperti tekanan darah tinggi. Meminum minuman beralkohol secara berlebihan serta penyalahgunaan dadah boleh memburukkan lagi masalah tersebut.

Terdapat beberapa pilihan untuk merawat masalah lemah tenaga batin. Ini termasuk alat mekanikal (contohnya pam vakum dan protesis zakar yang ditanam), pembedahan untuk membetulkan masalah pengalitan, suntikan yang boleh dilakukan sendiri atas nasihat pakar dan pengubatan biasa. Jika didapati penyebab fizikal bukan punca lemah tenaga batin, kaunseling dan psikoterapi boleh membantu meredakan masalah. Biasanya, bagi lelaki yang mengalaminya akibat fizikal dan psikologi, gabungan kaunseling dan rawatan lain diperlukan.

Satu lagi cara rawatan terbaru yang hangat diperkatakan ialah pil Viagra. Tetapi awas, Viagra bukan untuk sembarangan orang. Ia tidak digalakkan untuk orang muda sebaliknya untuk mereka yang berusia 40 tahun ke atas. Pengambilannya pula mestilah melalui pemeriksaan dan nasihat doktor kerana kesan-kesan sampingan seperti buta warna, tekanan darah rendah, sakit kepala, ketidakselesaan, bintik-bintik merah di badan dan sebagainya boleh memberikan kesan yang buruk. Lebih bahaya jika penghidapnya pula menghidapi penyakit-penyakit lain khususnya sakit jantung yang memang kita tahu pesakit lemah tenaga batin memang mempunyai penyakit lain.

Sumber : Haradian Shah Hamdan