KEHIDUPAN ini adalah satu persaingan. Dalam dunia perniagaan, persaingan adalah rempah ratus yang hampir tidak dapat dielakkan. Mereka yang mahu terjun ke dunia perniagaan perlu sanggup bergelumang dengan realiti persaingan dalam industri atau pasaran semasa.
Bagi mereka yang bersifat negatif, persaingan adalah batu penghalang. Namun, bagi mereka yang bersifat positif dan berdaya saing, persaingan akan memberi kesan yang amat baik sama ada kepada diri atau orang lain. Persaingan yang sihat akan mencipta graf perkembangan yang baik terhadap kerjaya yang kita ceburi.
Dalam konteks pekerjaan, persaingan boleh wujud apabila pekerja-pekerja bersaing sesama sendiri untuk meraih kepercayaan majikan.
Apabila kepercayaan tersebut dapat diperoleh, maka biasanya pekerja akan mendapat habuan yang memuaskan sama ada dari segi peningkatan gaji, bonus atau kenaikan pangkat.
Dari sudut yang lain, persaingan boleh juga terjadi apabila terdapatnya dua atau lebih organisasi yang menceburi bidang yang sama.
Bagi mereka yang berfikiran dan negatif, persaingan menjadi ancaman kepada diri dan boleh memberikan suasana yang sukar untuk meraih kejayaan yang disasarkan.
Pendirian dan sikap sebegini menjadikan seseorang itu akan menganggap pesaing itu sebagai musuh dalam pekerjaan.
Maka, mereka sedaya-upaya akan sentiasa memikirkan cara untuk memusnahkan pesaing-pesaing tersebut. Perasaan yang ditunjangi kebencian itu tentu tidak akan membuahkan persekitaran yang positif.
Sikap itu lebih menonjol apabila mereka ingin memenangi sesuatu pesaingan dan tidak boleh atau tidak menerima kekalahan.
Bagi mereka tiada istilah tewas dalam kehidupan. Keperibadian sebegini tanpa disedari hanya mewujudkan sifat ego, sombong dan dengki dengan kejayaan orang lain.
Ia juga akan membuahkan gejala-gejala negatif yang lain seperti fitnah-memfitnah, tuduh-menuduh, gossip liar dan sebagainya.
Semuanya itu berlaku demi untuk memastikan musuh dalam perniagaannya tersungkur jatuh rebah ke bumi.
Sebagai orang Islam yang dikurniakan iman oleh Allah SWT, kita perlu melihat persaingan sebagai sesuatu yang positif demi mewujudkan sikap yang dinamik, progresif, proaktif serta berdaya saing.
Tujuan sebenar persaingan adalah untuk melihat kreativiti dan potensi diri seseorang.
Selain itu, ia adalah sebagai pemangkin semangat dan motivasi untuk meningkatkan produktiviti sesebuah organisasi.
Apabila wujud persaingan, maka sepatutnya kita akan menjadi lebih gigih, berdaya saing dan lebih komited. Sebaliknya, jika tiada persaingan, keadaan ini boleh menyebabkan kita alpa dan merasakan diri adalah yang terbaik kerana sentiasa berada dalam zon selesa.
PETUA BERJAYA DALAM SAINGAN
Di sini dicadangkan beberapa petua untuk berhadapan dengan suasana persaingan :
Bersaing adalah ibadah
Di samping solat, puasa dan ibadah khusus yang lain, kerja yang kita laksanakan juga sebenarnya adalah ibadah. Ini bermakna, apabila wujudnya persaingan dalam bekerja, ia menunjukkan masing-masing sedang berusaha dan berlumba-lumba untuk melakukan ibadah yang terbaik. Ini selaras dengan dorongan daripada firman Allah SWT : “..Oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan; kerana di mana sahaja kamu berada maka Allah tetap akan membawa kamu semua (berhimpun pada hari Kiamat untuk menerima balasan); sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.” (Surah Al-Baqarah :148)
Minda yang betul
Kejayaan adalah satu permainan minda. Ungkapan ini menggambarkan betapa perlunya kita memiliki minda yang betul.
Kita perlu membuat penetapan dan kelaziman minda bahawa pesaing adalah rakan yang akan membantu kita untuk lebih menyerlahkan potensi dan kekuatan diri untuk menjadi lebih cemerlang. Budaya minda betul ini mudah untuk diucapkan. Tetapi untuk mencetuskan pemikiran yang positif melalui tindakan memerlukan ikhtiar berterusan.
Lalu setiap kegagalan perlu diubah sebagai peluang untuk memperbaiki kelemahan diri seperti kata pujangga ‘kita tidak pernah kalah cuma apa yang kita alami sekarang adalah satu kemenangan yang berterusan’.
Lihatlah dan belajarlah dari kehebatan pesaing, bukannya kelemahan yang ada pada mereka. Ini untuk bangunkan potensi diri serta organisasi agar lebih hebat dari pesaing-pesaing yang ada. Hikmah atau kebijaksanaan itu perlu dipelajari, walaupun dari musuh kita sendiri.
Nabi SAW bersabda : “Hikmah itu laksana barang tercicir kepunyaan orang beriman, maka dialah yang berhak mengambilnya.” (Diriwayatkan oleh At-Tirmidzi dan Ibnu Majah)
Pesaing bukannya musuh
Bersaing dengan orang lain perlu dilihat dalam konteks menjadikan mereka sebagai rakan dan bukannya lawan dalam erti kata sebenar. Sebagai contoh, cuba kita perhatikan pelumba-pelumba dalam arena olahraga. Mereka melihat pesaing-pesaing sebagai pendorong untuk meningkatkan prestasi pecutan. Semakin kuat larian pelumba-pelumba lain, maka semakin pantas pecutan dibuat dengan sepenuh tenaga. Situasi ini dapat diaplikasikan dalam kehidupan seharian kita. Kehebatan yang ada kepada pesaing dianggap sebagai pendorong untuk meningkatkan potensi diri agar menjadi lebih hebat.
Diri sebagai pesaing utama
Kegagalan yang sebenar ialah apabila kita tewas untuk bersaing dengan diri sendiri. Pesaing sebenar adalah diri sendiri. Ukuran sebuah kemenangan adalah apabila kita mampu meningkatkan kualiti diri lebih baik daripada semalam.
Kita seharusnya tidak perlu iri hati atau cemburu terhadap kejayaan orang lain. Kalah sekali tidak bererti kalah untuk selama-lamanya. Asalkan kita mempunyai iltizam untuk berjaya dan memperbaiki kelemahan diri, kejayaan pasti diperoleh. Seharusnya, kita perlu menerima kekalahan dengan hati yang terbuka. Jadikannya pendorong untuk terus berusaha dan menonjolkan kemampuan anda bagi tugasan yang berikutnya.
Perancangan yang strategik
Untuk meguruskan sesuatu persaingan, kita memerlukan kepada perancangan yang strategik untuk respons kepada persekitaran yang dinamik.
Kita perlu bijak untuk mencari peluang baru dalam perniagaan, belajarlah daripada pesaing-pesaing untuk mencipta idea baru dan unik yang mungkin belum diketengahkan lagi. Apabila kita gagal untuk merancang, sebenarnya kita merancang untuk gagal.
Demikianlah beberapa petua untuk berhadapan dengan pesaing-pesaing. Walau apa pun tindakan yang kita ambil, pastikan kita benar-benar mengetahui kekuatan dan kelemahan yang ada pada diri dan organisasi.
Wujudkan suasana persaingan yang sihat. Ketahuilah, orang yang benar-benar berjaya ialah orang yang boleh membawa orang lain untuk berjaya bersama-samanya.