Saturday, 17 December 2011

10 ASAS KEBAHAGIAAN RUMAH TANGGA


  1. Berkongsi tanggungjawab 
Suami isteri masing-masing mempunyai peranan di dalam kehidupan berumahtangga. Masing-masing perlu tahu dan faham makna sebenar perkahwinan dan berbincang dari hati ke hati apabila wujud sebarang masalah. Sebagai contoh, tugas untuk menguruskan rumah serta anak-anak. Ini kerana kaum lelaki perlu sedar, berkahwin bukanlah bermakna melantik isteri menjadi orang gaji.
  2. Pasangan teman teristimewa
 Untuk mengekalkan kebahagiaan rumahtangga, anggaplah pasangan sebagai teman yang terlalu istimewa. Pasangan bukan sekadar tempat untuk memuaskan nafsu semata-mata sebaliknya tempat untuk mencurah kasih dan mengadu masalah. Cuba berkongsi hobi atau minat dengan pasangan masing-masing. Jika mempunyai hobi atau minat yang berbeza pula, cuba memahami dan beri ruang kepada pasangan untuk menghabiskan masa bersama hobi yang disukainya itu apabila perlu.
  3. Rancang masa depan
 Ramai pasangan hari ini yang tidak tahu merancang masa depan. Akibatnya mereka tiada sebarang persediaan apabila sesuatu masalah wujud. Sebagai pasangan suami isteri, perlu saling mengingati dan menabung untuk keperluan hari kemudian. Tidak salah jika sesekali pergi bercuti bersama keluarga asalkan percutian tersebut mampu menghangatkan hubungan suami isteri yang sudah sekian lama terbina.
  4. Komunikasi yang baik 
Sentiasa berkomunikasi dengan pasangan amatlah penting untuk menjamin kebahagiaan di alam rumahtangga. Berkomunikasi merupakan keperluan untuk pasangan suami isteri merasai apa yang dikehendaki oleh pasangan masing-masing. Namun komunikasi yang baik, ada caranya dan cuba elakkan menyangkal kata-kata pasangan atau tidak memberi perhatian dengan apa yang diperkatakannya. Beri ruang kepada pasangan untuk meluahkan pandangan dan jadilah pendengar yang baik kepada pasangan anda.
  5. Mengenal ‘bahasa cinta’ pasangan
 Terdapat lima bahasa cinta yang perlu diberi perhatian iaitu kata-kata yang memberi keyakinan, masa berkualiti, memberi hadiah, berbakti dan memberikan sentuhan fizikal. Pasangan perlu memahami dan mengamalkannya agar mereka dapar meluahkan perasaan kasih sayang di antara satu sama lain.
  6. Mengukuhkan kewangan 
Tidak dinafikan wang dan harta benda merupakan satu keperluan hidup pada masa ini. Oleh itu, sebagai ketua ruamhtangga, suami perlu bijak dan berbincang dengan isteri untuk menguruskan kewangan rumahtangga agar sentiasa berjalan lancar. Rancang perbelanjaan dan elakkan pembaziran agar tidak menyinggung perasaan atau menimbulkan rasa tidak puas hati mana-mana pihak.
  7. Selesaikan konflik
 Hidup berumahtangga memang tidak lepas daripada konflik dan perselisihan faham. Bak kata pepatah, sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri. Untuk kekal bahagia, luahkan segala masalah yang dihadapi dan dan berbincang secara terbuka serta dewasa agar konflik dapat ditangani dengan cara yang paling baik. Selalunya segala perselisan faham dapat diatasi dengan mudah, jika kedua-dua pihak berfikir secara rasional dan dapat memaafkan pihak yang melakukan kesalahan. Kenang kembali saat-saat manis di awal perkahwinan dahulu dan renungkan wajah anak-anak yang tentunya masih mengharapkan belaian kedua ibu bapa mereka.
  8. Hubungan seks
 Jangan sekali-kali mengabaikan hubungan seks dengan pasangan. Jika anda mempunyai masalah di dalam perhubungan seks, jangan malu untuk berbincang dan dapatkan rawatan yang sewajarnya. Hubungan seks yang tidak sihat boleh menyebabkan sesebuah perkahwinan itu hancur.
  9. Tabah & sabar
 Di dalam melayari kehidupan berumahtangga sikap tabah dan sabar perlu ada di dalam diri setiap insan. Ini kerana kehidupan berumahtangga amat berbeza jika dibandingkan dengan kehidupan semasa bujang dahulu. Suami atau isteri juga perlu bersabar dengan kelemahan dan kekurangan pasangan masing-masing dan sentiasa berikan sokongan antara satu sama lain.
  10. Santai bersama
 Tidak perlu mengeluarkan bajet yang besar untuk meluangkan masa bersama pasangan masing-masing. Cukup sekadar menghabiskan masa berdua di halaman rumah sambil menghirup secawan kopi. Apa yang penting suasana tenang yang diwujudkan di rumah. Namun, jika berkemampuan, apa salahnya sesekali bawa insan tersayang melihat keindahan negara orang pula.
Sumber : Email